Sejarah

Latar Belakang SK Muara Payang




Sk Muara Payang 2008
Sekolah Kebangsaan Muara Payang adalah sebuah sekolah yang mempunyai sejarah yang menarik dan tersendiri. Ia telah menjadi kenyataan pada tahun 1974 dengan hanya bermodalkan sebuah bangunan buatan orang- orang tempatan dari kayu - kayan dan nipah yang banyak terdapat di kawasan ini. Sekolah ini terletak hanya beberapa kilometer dari Bandar Sarikei. Jalan masuk iaitu muara sungai ke kawasan sekolah ini mempunyai banyak kisah- kisah misteri yang masih menjadi satu kepercayaan dan diceritakan dari mulut ke mulut sampai ke hari ini.

Pengangkutan air merupakan pengangkutan yang utama bagi penduduk di kawasan ini, bagaimana pun untuk sampai dan menyaksikan sendiri sekolah ini dari dekat bukanlah satu masalah kerana pengangkutan ekspress ketika itu sudah ada beroperasi sepanjang sungai ini. Ekspress Golden Bright dan Ekspress Sinar Sarawak adalah dua ekspress yang beroperasi kitika itu dan mengenakan tambang sebanyak RM3.00 bagi setiap penumpang. Sekolah ini mempunyai keluasan lebih kurang 8 hektar dan terletak berhampiran dengan sebatang sungai yang dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai sungai Batang Baram meski pun pada masa sekarang ianya banyak nama yang disebut.

Bagaimana pun untuk memastikan nama sebenarnya adalah satu kerumitan kerana disebabkan oleh pendapat dan pandangan yang berbeza tentang sungai ini. Masyarakat iban yang tinggal di sekitar kawasan berhampiran sekolah ini masih lagi mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza tentang kehidupan dan adat resam yang masih menebal kerana kebanyakan mereka masih menganuti kepercayaan lama.

Tiga buah rumah panjang dengan tiga orang Tuai Rumah sudah cukup memperlihatkan bahawa mereka masih mengamalkan sikap kekeluargaan kerana dari apa yang diketahui bahawa dalam sesebuah rumah panjang tersebut hampir semua keluarga terdiri dari satu keluarga asas. Pada waktu permulaan sekolah ini beroperasi, bangunan semetaranya terletak betul- betul di tebing sungai dan kerana tebing sungainya telah terhakis maka bangunan tersebut terpaksa dipindahkan ketempat lain yang lebih selamat. Sayang sekali gambar bangunan tersebut tidak dapat diabadikan bersama.

Picture 1

Picture 2

Picture101
Tuai Rumah Juan Ak Buyu

Bagi membantu pihak sekolah dalam mencari sejarah sebenar tentang permulaan sekolah ini, pihak kami telah menemui seorang ketua masyarakat iaitu Tuai Rumah Juan Ak Buyu yang kini telah berusia 51 tahun. Beliau adalah salah seorang anak kepada mendiang Buyu Ak Kemarau, seorang ketua masyarakat yang bertanggungjawab dalam proses penubuhan sekolah ini. Walau bagaimanapun beliau yang dimaksudkan itu telah lama meninggal dunia sejak 9 tahun yang lalu.

Semasa ditemui di rumahnya pada 20 mei 1987 iaitu pada hari sabtu, Tuai Rumah Juan Ak Buyu menceritakan bahawa mendiang ayahnya Buyu Ak Kemarau sangat mengambil berat tentang kehidupan  anak- anak muda lebih- lebih lagi kanak- kanak. Pelajaran pada kanak- kanak rumah panjang seharusnya diutamakan demi masa depan mereka. Kemiskinan adalah punca utama penduduk rumah panjang di sini tidak mampu menghantar anak- anak mereka bersekolah di kawasan bandar.

Menyedari hakikat ini, mendiang Buyu Ak Kemarau memohon kepada pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah sekolah di kawasan yang ada sekarang. Syukurlah juga kerana impian mendiang pada masa itu tidak sia- sia. Masyarakat di sini telah bermurah hati untuk mendermakan sedikit tanah bagi tapak sekolah yang dimaksudkan itu. Bagaimanapun rumah atau bangunan sekolah yang dibina hanyalah untuk sementara di mana pada masa itu penduduk rumah panjang telah bersepakat dan bergotong- royong membina bangunan tersebut dengan menggunakan atap dan dinding dari pokok nipah, berlantaikan pokok nibong dan bertiangkan kayu kayan yang terdapat di hutan yang berhampiran. 
Sekolah sementara ini telah beroperasi selama lebih kurang 5 tahun iaitu bermula pada tahun 1974, bagaimanapun bangunan tersebut telah roboh. Memandangkan semangat dan sambutan yang baik dari masyarakat setempat, maka kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan sekolah yang baru, cantik dan kukuh seperti yang kita lihat pada masa sekarang.

Mengenai nama sekolah ini, Tuai Rumah Juan menjelaskan ianya telah wujud dari sebuah sungai kecil yang terletak berhampiran dengan muara sungai besar. Sungai kecil itu telah dikenali oleh penduduk setempat dengan nama ' Payang '. Oleh itu sekolah ini telah diberi nama bersempena dengan nama sungai dan muara yang ada di situ dan khabarnya sungai kecil tersebut masih wujud hinggalah sekarang. Sekolah Muara Payang masih kekal dan menjadi sebutan di mana- mana jua. Ada sebilangan besar orang melayu mengenali sekolah ini dengan nama ' Nanga Payang '.

Mengenai masyarakat yang mendapat pendidikan dari sekolah ini, 99.9% daripadanya adalah penduduk iban yang datang dari beberapa buah rumah panjang yang berhampiran dan yang ada di sepanjang sungai. Kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan dan Jabatan Pelajaran menjadikan sambutan dan semangat ingin bersekolah makin menebal dikalangan setiap orang.



SEJARAH PERKEMBANGAN


Dalam tahun 1974, iaitu tahun permulaan penubuhan sekolah ini, hanya terdapat sebuah bilik darjah sahaja yang mana pembinaannya adalah secara bergotong- royong. Oleh kerana sambutan masyarakat tempatan terhadap sekolah ini cukup menggalakkan maka Jabatan Pelajaran telah membina sebuah blok bangunan bilik darjah dan pejabat pada tahun 1979. Pembinaan bangunan tambahan ini dibina di atas pembiayaan Bank Dunia.

Picture3
Blok Bangunan Dan Pejabat yang telah dibina

Dalam tahun 1980, kerajaan telah membina sebuah Asrama dan sebuah Dewan Makan secara gotong royong oleh masyarakat tempatan. Asrama itu dibuat untuk menempatkan pelajar yang tinggal berjauhan dari sekolah. Asrama itu juga menempatkan murid dari Rh Erie, Rh Linggi dan Rh Bantan yang akan bersekolah di sini pada tahun berikutnya. Awal tahun 1981, Asrama yang dibina itu mula menerima pelajar dan bermulalah era baru bagi sekolah ini, iaitu sekolah berasrama. Pada penghujung tahun 1986, bangunan baru iaitu Dewan Makan telah siap dibina dan pada awal 1987 bangunan ini mula digunakan. Asrama murid masih lagi digunakan walaupun ianya sudah terlalu usang. Telah ada cadangan untuk membina asrama baru waktu itu bagi mengantikan asrama lama tetapi sehingga kini masih belum ada perkembangan lanjut.

Picture4
Gambar atas: Dewan Makan Lama ( Dibina secara gotong- royong)

Picture 5
Gambar bawah: Dewan Makan Baru (Dibina secara kontrak)

Gambar bawah: Bangunan Asrama Lama (Dibina secara gotong- royong)
Picture 6

Picture 7
Gambar atas: Rumah Guru Lama ( Dibina secara gotong- royong)
Dalam tahun 1986, sebuah lagi rumah guru telah dibina secara kontrak. Ia adalah sebuah barrack dua pintu sebagai tambahan kepada rumah guru yang sedia ada iaitu satu blok Quarters guru kelas 4 dan dua pintu rumah guru yang telah dibuat secara gotong- royong.

Picture 8
Gambar atas: Quarters Kelas 4 (Sebuah sahaja)

Waktu itu rumah guru boleh dikatakan cukup tetapi sekiranya bilangan guru akan bertambah, bangunan yang sedia ada mungkin tidak mencukupi jika mana guru yang berkeluarga tentu memerlukan kediaman sendiri dan tidak boleh berkongsi dengan guru yang bujang, pihak sekolah berharap agar masalah ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin.

Picture 9
Gambar atas: Rumah Guru 2 Bilik ( Dibina secara kontrak)

Setelah 13 tahun sekolah ini ditubuhkan, alat- alat kelengkapan untuk sekolah ini boleh dikatakan cukup walaupun ada sedikit kekurangannya. Jabatan Pelajaran telah membekalkan sebahagian besar daripadanya.

Dari segi kemudahan asas untuk aktiviti permainan, sekolah ini telah menyediakan 2 padang iaitu padang bolasepak dan gelanggang bersimen untuk permainan seperti sepak takraw, badminton dan bola tampar dan juga digunakan untuk pendidikan jasmani.

Untuk ingatan semua, sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Berhormat Datuk Musa Hitam ketika itu menjadi Menteri Pelajaran Malaysia pada 4 Jun 1979. Dengan pembukaan itu maka sekolah ini telah memulakan era baru dalam sistem pendidikan yang membawa satu harapan untuk meningkatkan segala aspek pembelajaran untuk generasi baru yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Picture 10
Gambar atas: Papantanda Pembukaan Rasmi Sekolah 1979